Galeri Tan Sri Abdul Aziz

Suruhanjaya Pilihanraya Malaysia

Election Commission Of Malaysia


LATAR BELAKANG SURUHANJAYA PILIHAN RAYA MALAYSIA

           

Suruhanjaya Pilihan Raya ditubuhkan secara rasminya pada 4 September 1957, hari selepas negara mengisytihakan kemerdekaan. SPR ditubuhkan mengikut perkara 114 Perlembagaan Persekutuan dan keanggotaannya adalah dilantik oleh Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong selepas diperkenankan oleh Majlis Raja-Raja. Fungsi-fungsi SPR termaktub di bawah Perkara 113 hingga 120 Perlembagaan Persekutuan.

               

                Ketika ditubuhkan pada tahun 1957, SPR dianggotai oleh seorang Pengerusi dan dua orang Ahli. Berikutan dengan penubuhan Malaysia pada tahun 1963, bilangan keanggotaannya ditambah kepada 3 orang. Ahli yang ketiga ini adalah untuk mewakili Sabah dan Sarawak yang mana pelantikan dibuat secara bergilir-gilir. Pada tahun 1981, Perkara 114 Perlembagaan Persekutuan telah dipinda untuk membolehkan pelantikan seorang Timbalan Pengerusi dan pada tahun 2002 dipinda sekali lagi untuk menambahkan keanggotaan SPR menjadi 7 orang iaitu seorang Pengerusi, seorang Timbalan Pengerusi dan 5 Ahli lain termasuk seorang Ahli dari Sabah dan seorang Ahli dari Sarawak.

           

                Sejak penubuhannya pada tahun 1957, SPR telah diterajui oleh 8 orang Pengerusi bermula dengan Y.Bhg. Dato' Haji Mustapha AlBakri bin Hj Hassan (1957 - 1967); Y.Bhg. Tan Sri Dato' Ahmad bin Perang (1967 - 1977); Y.Bhg. Tan Sri Dato' Abdul Kadir bin Talib (1977 - 1990); Y.Bhg. Dato' Harun bin Din (1990 - 1999); Y.Bhg. Dato' HAji Omar bin Mohd Hashim (1999 - 2000) ; Y.Bhg. Tan Sri Dato' Seri Hj. Ab. Rashid bin Ab. Rahman (2000 - 2008); Y.Bhg. Tan Sri Dato' Seri Abdul Aziz bin Mohd Yusof (2008 - 2016) dan yang terkini adalah Y.Bhg Datuk Seri Mohd Hashim Bin Abdullah. Bagi melaksanakan fungsinya, SPR menubuhkan sebuah Urusetia yang diketuai oleh seorang Setiausaha selaku ketua pentadbir.

           

                Dari tahun 1957 hingga tahun 1978, SPR telah beroperasi dari ibu pejabatnya di bangunan Sultan Abdul Samad, Jalan Clerk, Kuala Lumpur. Dari tahun 1978 hingga sekarang ibu pejabat SPR telah berpindah sebanyak 5 kali sebelum berada di lokasinya sekarang di Persint 2, Putrajaya. Selain itu, SPR juga mempunyai 14 buah Pejabat Pilihan Raya Negeri di seluruh Malaysia yang diketuai oleh seorang Pengarah Pilihan Raya Negeri.

           

                Pada Bulan Mac 2015, Spr telah Berpindah ke bangunannya sendiri bertempat di Persint 2, Pusat Pentadbiran Kerajaan Persekutuan, Putrajaya. Bangunan ini mempunyai 9 tingkat yang mana reka bentuknya bercirikan peti undi yang kini dikenali sebagai MENARA SPR.

           

                Sejak penubuhannya, SPR telah mengendalikan sebanyak 13 Pilihan Raya Umum bermula dengan Pilihan Raya Umum Pertama selepas merdeka pada tahun 1959. Ini diikuti dengan pilihan raya-pilihan raya umum tahun 1964, 1969, 1974, 1978, 1982, 1986, 1990, 1995, 1999, 2004, 2008 dan yang terbaru, ada tahun 2013. Selain itu SPR juga telah mengendalikan 11 Pilihan Raya Umum bagi Dewan Undangan Negeri Sabah dan 10 Pilihan Raya Umum bagi Dewan Undangan Negeri Sarawak. Di samping itu, SPR juga telah menjalankan lebih daripada 150 pilihan raya kecil bagi mengisi kekosongan kerusi yang berlaku di luar jangka dari masa ke semasa samada bagi kerusi-kerusi Parlimen ataupun Dewan Undangan Negeri. Selain itu, SPR juga telah menjalankan sebanyak 7 urusan Persempadanan Bahagian-bahagian Pilihan Raya bagi seluruh negara termasuk yang terkini adalah di Sarawak. Hasil daripada persempadanan dan kajian semula bahagian-bahagian Pilihan Raya tersebut, bilangan bahagian Pilihan Raya Parlimen telah bertambah daripada 104 pada tahun 1959 kepada 222 pada tahun 2006. Manakala bilangan bahagian-bahagian pilihan raya Dewan Undangan Negeri telah bertambah daripada 282 pada tahun 1959 kepada 587 pada tahun 2016.


Bangunan Sultan Abdul Samad
Jalan Clark, Kuala Lumpur.
(1957 - 1978)

Bangunan Yayasan Selangor
Jalan Bkt. Bintang, Kuala Lumpur.
(1978 - 1985)

Bangunan Tong Ah
Jalan P. Ramlee, Kuala Lumpur.
(1985 - 1988)

Menara Bank Pembangunan
Jalan Sultan Ismail, Kuala Lumpur.
(1988 - 2000)

Aras 4 - 5, Blok C7, Kompleks C,
Pusat Pentadbiran Kerajaan Persekutuan, Putrajaya.
(2001 - 2015))

No.2, Jalan P2T, Presint 2
Pusat Pentadbiran Kerajaan Persekutuan, Putrajaya.
(2015 - terkini)